Pada suatu musim bunga selepas musim dingin yang sangat suram, Emma membantu untuk menjaga seorang ahli keluarganya yang telah lama sakit. Emma mendapat galakan setiap kali dia melewati sepohon pokok ceri berdekatan rumahnya di Cambridge, England. Bunga putih berkembang di atas bunga-bunga yang berwarna merah muda. Seorang tukang kebun yang mahir telah mencantum carang yang berbunga putih ke pokok tersebut. Apabila Emma melewati pokok yang luar biasa itu, dia teringatkan kata-kata Yesus bahawa Dia ialah Pokok dan para pengikut-Nya ialah carang-carang-Nya (Yohanes 15:1-8).

Dengan menyebut Diri-Nya sebagai Pokok, Yesus berkata tentang satu gambaran yang biasa bagi orang Israel dalam Perjanjian Lama, kerana di sana, pokok melambangkan umat Tuhan (Mazmur 80:9-10; Hosea 10:1). Yesus memperluas maksud dalam simbol ini dengan merujuk kepada Diri-Nya sendiri, bahawa Dia ialah Pokok dan para pengikut-Nya telah dicantumkan kepada-Nya sebagai carang. Selagi mereka tetap tinggal di dalam Dia, mereka menerima khasiat dan kekuatan daripada Tuhan, mereka boleh berbuah lebat (Yohanes 15:5).

Sebagaimana Emma menyokong ahli keluarganya, dia perlu diingatkan bahawa dia berhubungan dengan Yesus. Bunga-bunga putih yang mekar di antara bunga-bunga yang berwarna merah muda memberikan dia gambaran yang jelas mengenai kebenaran ini: sekiranya dia tetap berada pada Pokok, dia mendapat makanan rohani melalui Yesus.

Apabila kita, orang yang percaya dalam Yesus mempercayai buah fikiran bahawa kita dekat kepada Yesus sebagaimana carang dekat dengan pokok, maka iman kita dikuatkan dan diteguhkan.