Ramai pengkritik filem menganggap bahawa filem David Lean, Lawrence of Arabia merupakan salah sebuah filem yang terhebat sepanjang masa. Dengan pemandangan padang pasir Arab yang kelihatan tiada hujungnya, filem ini telah mempengaruhi satu generasi pembuat filem—termasuk pemenang Anugerah Akademi, pengarah Steven Spielberg. “Saya mendapat inspirasi pada kali pertama saya menonton filem ini,” kata Spielberg. “Filem ini telah membuatkan saya terasa kecil dan lemah. Kini saya masih terasa kecil dan lemah apabila menontonnya, dan inilah menunjukkan betapa hebatnya filem ini.”

Apa yang membuatkan saya terasa kecil ialah penciptaan yang luas terbentang—apabila saya memandang ke laut, terbang di atas kutub litupan ais, atau meninjau langit malam yang bergemerlapan dengan jutaan bintang di langit. Jika alam semesta yang sudah tercipta begitu luas terbentang, bayangkan keagungan Pencipta yang hanya berfirman dan segala ciptaan terus wujud!

Kebesaran Tuhan dan perasaan kita bahawa betapa kecilnya kita, ditulis oleh Daud ketika dia mengumumkan, “Apakah manusia itu sehingga Engkau ingat akan mereka? Mereka insan belaka, namun Engkau peliharakan mereka?” (Mazmur 8:5). Tetapi Yesus meyakinkan kita, “Lihatlah burung di udara yang tidak menyemai benih, tidak menuai tuaian, dan tidak mengumpulkan hasil di dalam jelapang, tetapi Bapa kamu yang di syurga memelihara semuanya! Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung?” (Matius 6:26).

Saya mungkin berasa kecil dan lemah, tetapi di mata Bapa, saya memiliki nilai yang besar—nilai ini terbukti setiap kali saya melihat salib. Pengorbanan yang sanggup ditanggung-Nya agar saya dipulihkan untuk bersekutu dengan Dia. Semua ini ialah bukti bahawa Dia sangat menghargai saya.