Jemaah kami berasa amat sedih apabila Paul, seorang pemimpin nyanyian pujian yang berbakat meninggal dunia pada usia 31 dalam satu kemalangan bot. Paul dan isterinya, DuRhonda, sering bersedih; mereka pernah mengebumikan beberapa orang anak mereka yang meninggal dalam kandungan. Sekarang, ada sebuah kubur lagi berdekatan dengan kubur-kubur anak mereka. Krisis kehidupan yang menghancurkan yang dialami oleh keluarga ini, menimpa orang yang mengasihi mereka seperti hentaman pada kepala.

Krisis peribadi dan keluarga tidak asing lagi bagi Daud. Dalam Mazmur 3, Daud amat sedih kerana pemberontakan anaknya Absalom. Dia memilih untuk lari menyelamatkan diri daripada tetap berada di istana untuk melawan dan mempertahankan takhtanya (2 Samuel 15:13–23). Walaupun “ramai” orang menganggap bahawa dia telah ditinggalkan oleh Tuhan (Mazmur 3:3), namun Daud sendiri amat berpengalaman dalam situasi sebegini; Dia melihat Tuhan sebagai pelindungnya (ayat 4), dan “berseru kepada TUHAN meminta pertolongan” (ayat 5). Demikian juga dengan DuRhonda. Di tengah-tengah kesedihannya, apabila ratusan orang telah berkumpul untuk memperingati suaminya, dia bersuara dengan lembut dan menyanyi untuk menyatakan keyakinannya dalam Tuhan.

Ketika laporan kesihatan daripada doktor mematahkan semangat, tekanan kewangan tidak menyenangkan, usaha untuk berdamai dalam suatu hubungan gagal, kematian memisahkan orang yang kita hargai—semoga kita juga dikuatkan dengan berkata, “Tetapi Engkau, ya TUHAN, adalah perisai yang melindungi aku. Engkau memberi aku kemenangan dan memulihkan semangatku” (ayat 4).