Saya diilhamkan oleh lagu Tim McGraw, “Live Like You Were Dying” (Hiduplah Seperti Anda Akan Mati). Dalam lagu itu, dia menjelaskan beberapa perkara dalam “senarai” yang dilakukan oleh seseorang selepas dia menerima berita buruk mengenai kesihatannya. Dia juga memilih untuk mengasihi dan mengampuni dengan senang hati—bercakap dengan lebih lemah lembut dengan mereka. Lagu itu memberitahu kita menjalani hidup dengan baik, seolah-olah hidup kita akan berakhir tidak lama lagi.

Lagu ini mengingatkan kita bahawa masa kita adalah terbatas. Pentingnya bagi kita tidak menunggu sampai hari esok untuk melakukan benda yang boleh dilakukan pada hari ini, kerana suatu hari kelak, tiada lagi hari esok untuk kita. Ini amat penting bagi orang yang percaya kepada Yesus, yang percaya bahawa Yesus akan kembali pada bila-bila masa (mungkin pada saat anda membaca ayat ini!). Yesus menggesa kita bersiap sedia, jangan seperti lima orang gadis yang “bodoh”, yang didapati tidak bersiap sedia ketika pengantin lelaki datang (Matius 25:6-10).

Tetapi lagu McGraw tidak memberitahu kisah sepenuhnya. Orang yang mengasihi Yesus tidak akan kehabisan hari esok. Yesus berkata, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya” (Yohanes 11:25–26). Hidup kita dalam Yesus tidak akan berakhir.

Justeru itu, janganlah jalani hidup seperti anda akan mati, sebab anda tidak mati. Tetapi jalanilah hidup seperti Yesus akan datang kembali, sebab Dia akan kembali!