“Anda ingin menjadi apa apabila dewasa nanti?” Kesemua kita pernah mendengar pertanyaan itu pada zaman kanak-kanak dan kadangkala juga ketika sudah dewasa. Pertanyaan itu timbul dengan rasa ingin tahu, dan jawapannya sering didengar sebagai petunjuk kepada cita-cita seseorang. Jawapan saya berubah selama bertahun-tahun ini, mula-mulanya saya ingin menjadi seorang koboi, kemudian seorang pemandu trak, diikuti seorang askar, dan saya memasuki universiti untuk menjadi seorang doktor. Bagaimanapun, saya tidak dapat mengingat sekali pun ada orang mencadangkan atau saya betul-betul berfikir untuk mengejar “kehidupan yang tenang.”
Namun itulah yang dikatakan oleh Paulus kepada orang di Tesalonika. Pertama, dia menggesa mereka lebih saling mengasihi dan semua keluarga Tuhan (1 Tesalonika 4:10). Kemudian dia memberikan mereka satu peringatan umum yang meliputi apa pun yang diusahakan mereka secara khusus. “Berusahalah hidup dengan tenang” (ayat 11). Apakah maksud Paulus sebenarnya? Dia menjelaskan: “Janganlah campuri hal orang lain dan carilah nafkah sendiri,” sehingga orang luar menghormati anda dan anda bukan beban kepada sesiapa pun (ayat 11-12). Kita bukan tidak mahu menggalakkan anak-anak mengejar cita-cita atau keinginan mereka, tetapi mungkin kita boleh menggalakkan mereka bahawa apa pun yang dipilih mereka, mereka melakukannya dengan semangat yang tenang.
Pertimbangkan dunia yang kita hidup, perkataan bercita-cita tinggi dan tenang kelihatannya tidak berkaitan. Tetapi Alkitab sentiasa relevan, jadi mungkin kita harus mempertimbangkan untuk memulakan hidup yang lebih tenang.