Saya memiliki beberapa bintik di bahagian hidung dan saya baru pergi berjumpa doktor selepas 6 bulan. Keputusan biopsi keluar beberapa hari kemudiannya disertakan kata-kata yang saya tidak ingin dengar: Kanser kulit. Walaupun kanser itu boleh dibedah dan tidak mengancam nyawa, namun berita ini adalah seperti pil yang pahit untuk ditelan, yakni perkara yang tidak mudah untuk diterima.

Tuhan juga memerintahkan Yehezkiel menelan “pil pahit”—gulungan kitab yang mengandungi kata-kata ratapan dan rintihan (Yehezkiel 2:10; 3:1-2). Dia perlu “isilah perut[nya] dengannya” (3:3) dan menyampaikan segala firman Tuhan kepada umat Israel, yang dianggap Tuhan sebagai umat yang “degil dan tidak menghormati[-Nya]” (2:4). Kita mungkin menjangkakan gulungan yang penuh teguran itu rasanya seperti pil pahit. Namun Yehezkiel menggambarkannya sebagai “manis seperti madu” dalam mulutnya (3:3).

Yehezkiel seolah-olah telah belajar untuk menerima teguran Tuhan. Yehezkiel tidak melihat teguran-Nya sebagai sesuatu yang harus dielakkan, sebaliknya dia mengakui bahawa apa yang baik untuk jiwa merupakan sesuatu yang “manis”. Tuhan mengajar dan menegur kita dengan kasih, menolong kita hidup dengan cara yang menghormati dan menyenangkan hati-Nya.

Sesetengah kebenaran seumpamanya pil yang pahit untuk ditelan, sementara yang lain rasanya manis. Jika kita mengingat bahawa Tuhan sangat mengasihi kita, kebenaran-Nya akan dirasakan seperti madu. Firman-Nya diberikan demi kebaikan kita, memberikan kebijaksanaan dan kekuatan untuk mengampuni orang lain, menjauhi gosip, dan dapat menanggung penganiayaan. Tolonglah kami, ya Tuhan, untuk mengakui kebijaksanaan-Mu sebagai nasihat manis yang benar!