Ketika Willie yang berusia 9 tahun diculik dari halaman depan rumahnya pada tahun 2014, dia menyanyikan lagu Injil kegemarannya Every Praise (Setiap Pujian) berulang kali. Semasa pengalaman ngeri selama 3 jam itu, Willie berulang kali tidak mengendahkan arahan penculik itu yang menyuruhnya duduk diam ketika mereka memandu. Akhirnya, penculik itu melepaskan Willie keluar dari kereta tanpa dicederakan. Kemudian, Willie menggambarkan kejadian itu sambil mengatakan bahawa walaupun dia berasa takut, dia memfokuskan iman, dan penculik itu kelihatannya berasa terganggu dengan lagu tersebut.

Tindak balas Willie terhadap situasi yang mengerikan itu mengingatkan kita tentang pengalaman Paulus dan Silas. Setelah diserang dan dimasukkan ke dalam penjara, mereka bertindak balas dengan “menyanyikan puji-pujian kepada Allah. Orang tahanan yang lain mendengar mereka. Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat sekali, sehingga asas penjara itu bergoncang. Semua pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua orang tahanan pun terlepas” (Kisah Rasul-Rasul 16:25-26).

Setelah menyaksikan demonstrasi kuasa yang hebat ini, ketua penjara percaya kepada Tuhan yang dipercayai oleh Paulus dan Silas, dan seluruh isi rumahnya dibaptis bersama-samanya (ayat 27-34). Melalui pujian kepada Tuhan, rantai-rantai yang telah membelenggu secara fizikal dan rohani telah diputuskan pada malam itu.

Kita mungkin tidak selalu mengalami penyelamatan yang dramatik seperti yang berlaku kepada Paulus dan Silas, atau Willie. Tetapi kita tahu Tuhan bertindak balas terhadap pujian umat-Nya! Apabila Dia bertindak, rantai pun akan terputus.