Penyair Carl Sandburg, menulis tentang bekas presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln, “Jarangnya ada manusia yang lahir di bumi ini memiliki kedua-dua sifat seperti keluli dan baldu, … yang hati dan fikirannya mengandungi paradoks ribut dahsyat dan kedamaian yang tidak terkatakan dan sempurna.” “Keluli dan baldu” menggambarkan bagaimana Lincoln menyeimbangkan kuasa kedudukannya dan keprihatinan terhadap orang yang memperjuangkan kebebasan.

Hanya seorang dalam sejarah mempunyai keseimbangan yang sempurna dalam kekuatan dan kelembutan, kuasa dan belas kasihan. Orang itu ialah Yesus Kristus. Dalam Yohanes 8, ketika didatangi oleh pemimpin agama yang mengutuk seorang wanita yang bersalah, Yesus memperlihatkan kedua-dua sifat keluli dan baldu. Dia memperlihatkan sifat keluli dengan menolak tuntutan gerombolan yang menginginkan wanita itu direjam sampai mati, dan Dia memutarkan kembali mata mereka yang penuh penghakiman itu kepada diri mereka. Dia berkata, “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia” (ayat 7). Kemudian Yesus menunjukkan belas kasihan dengan memberitahu wanita itu, “Pergilah dan janganlah berdosa lagi” (ayat 11).

Dengan merenungkan “keluli dan baldu” yang diperlihatkan oleh Yesus dalam respons kita sendiri terhadap orang lain, pekerjaan Bapa yang membentuk kita agar menjadi seperti Yesus ditonjolkan. Kita dapat menunjukkan hati-Nya kepada dunia yang merindukan baldu yang bersifat belas kasihan dan keluli yang bersifat keadilan.