Selepas tamatnya Perang Dunia Pertama, Presiden Amerika Syarikat, Woodrow Wilson diiktiraf sebagai salah seorang pemimpin yang paling berkuasa di dunia. Tetapi hanya sedikit orang yang mengetahui bahawa selepas dia menghidapi strok yang serius pada tahun 1919, isterinya yang menguruskan hampir semua urusannya, menentukan isu-isu yang perlu diberikan perhatiannya. Malah, ahli-ahli sejarah moden percaya bahawa untuk sementara waktu, sebenarnya Edith Wilson yang berkhidmat sebagai presiden Amerika Syarikat.
Sekiranya diminta untuk menamakan para pemimpin gereja awal, kebanyakan kita akan menyenaraikan Petrus, Paulus, dan Timotius yang mempunyai kurnia rohani dan melakukan perkara ajaib berdasarkan Alkitab. Tetapi dalam Roma 16, Paulus menyenaraikan hampir 40 orang dengan latar belakang yang berbeza—lelaki, wanita, hamba, Yahudi, dan orang yang bukan Yahudi semuanya menyumbang untuk membentuk kehidupan jemaah dengan pelbagai cara.
Paulus tidak pernah menganggap mereka sebagai ahli gereja kelas kedua, malah dengan jelas dia sangat menghormati golongan ini. Dia menggambarkan mereka sebagai yang terkenal antara rasul-rasul (ayat 7)—orang yang perlu dipuji kerana pelayanan mereka untuk Yesus.
Ramai antara kita mungkin berpendapat kita hanyalah orang biasa untuk menjadi pemimpin di gereja. Tetapi sebenarnya setiap orang mempunyai kurnia yang dapat digunakan untuk melayani dan menolong orang lain. Dalam kekuatan Tuhan, mari kita menggunakan kurnia kita untuk memuliakan-Nya!