Selama hampir 4 dekad, seorang lelaki di India telah bekerja keras untuk mengusahakan tanah berpasir yang terbiar. Dia melihat bagaimana hakisan dan perubahan ekosistem telah memusnahkan pulau yang terbentuk di atas sungai kesayangannya, maka dia mula menanam pokok pada satu masa yang tetap, pokok buluh dan kemudian kapas. Sekarang tempat itu menjadi hutan yang subur dan habitat bagi banyak hidupan liar yang mengisi keluasan lebih daripada 526 hektar. Walau bagaimanapun, lelaki tersebut menegaskan bahawa kelahiran semula tempat itu bukan disebabkan oleh usahanya. Dia mengagumi pembentukan alam semula jadi, dia tertanya-tanya bagaimana biji benih dibawa ke tanah yang subur oleh angin. Burung dan haiwan juga terlibat dalam menyemai biji benih, dan sungai-sungai turut menyumbang dalam menyuburkan tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok.
Penciptaan dunia ini terbentuk dengan cara yang kita tidak dapat fahami atau mengawalnya. Menurut Yesus, prinsip yang sama ini berlaku dalam Pemerintahan Tuhan. “Apabila Allah memerintah, keadaannya dapat diumpamakan seperti seorang yang menabur benih di ladangnya … benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Orang itu tidak mengerti bagaimana hal itu berlaku” (Markus 4:26-27). Tuhan membawa kehidupan dan penyembuhan ke dunia sebagai hadiah, tanpa manipulasi kita. Kita hanya melakukan apa sahaja yang dituntut oleh Tuhan, kemudian kita akan melihat terbentuknya kehidupan. Kita tahu segala sesuatu mengalir daripada rahmat-Nya.
Kita tergoda untuk percaya bahawa kita bertanggungjawab untuk mengubah hati seseorang atau memastikan kita akan menuai hasil bagi usaha kita yang setia. Walau bagaimanapun, kita tidak perlu hidup di bawah tekanan yang meletihkan ini. Tuhan yang membuat semua benih kita bertumbuh. Semua kerana rahmat-Nya.
ILHAM
Dalam Markus 4 (lihat juga Matius 13:1-3; Lukas 5:1-3), Markus memberitahu khalayak ramai yang telah berkumpul untuk mendengar Yesus berkhutbah adalah begitu banyak sehingga Dia terpaksa duduk di sebuah perahu untuk mengajar mereka. Kenapa berbuat demikian? Kerana gelombang bunyi bergerak lebih jauh di atas air. Dan di tebing Tasik Galilea atau Tasik Genesaret (juga dipanggil sebagai Tasik Tiberias) yang berdekatan dengan Kapernaum adalah amfiteater, gelanggang terbuka yang terbentuk semula jadi. Bentuknya melandai turun menuju salur masuk danau atau teluk —hari ini dipanggil sebagai Teluk Perumpamaan (Bay of Parables)—tempat khalayak yang beribu-ribu boleh duduk dengan selesa dan elemen akustiknya telah memudahkan umat Tuhan mendengar kata-kata Yesus.Untuk lebih mengetahui tentang geografi tanah Alkitabiah, sila layari christianuniversity.orgNT110.