Pekerja-pekerja kesihatan di bandar San Francisco pergi ke lorong-lorong jalan untuk membekalkan rawatan perubatan kepada orang gelandangan yang menderita ketagihan candu. Program ini dilancarkan sebagai tindak balas terhadap peningkatan jumlah orang gelandangan yang ketagih. Biasanya doktor menunggu pesakit datang ke klinik. Dengan memberi rawatan perubatan kepada yang menderita, para pesakit tidak perlu menghadapi kesukaran dari segi pengangkutan atau mengingat tarikh janji temu mereka.

Kesudian para pekerja kesihatan untuk pergi kepada mereka yang memerlukan penjagaan mengingatkan saya tentang cara Yesus datang kepada kita. Dalam pelayanan-Nya, Yesus mencari orang yang ditolak oleh pemimpin-pemimpin agama: Dia makan bersama dengan “pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat” (Markus 2:16). Apabila ditanya sebab Dia melakukan hal itu, Yesus menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang sakit memerlukannya” (ayat 17). Dia terus berkata bahawa niat-Nya adalah memanggil orang berdosa menjalinkan hubungan dengan Dia, bukan orang yang menganggap diri sendiri benar.

Apabila kita menyedari setiap kita adalah “sakit” dan memerlukan seorang doktor (Roma 3:10), kita akan lebih menghayati kesudian Yesus untuk makan bersama “pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat”, yakni kita. Sebaliknya, seperti para pekerja kesihatan di San Francisco, Yesus melantik kita sebagai “pasukan jalanan”-Nya untuk membawa mesej penyelamatan-Nya kepada orang lain yang memerlukannya.