Ketika Taufan Florence melanda Wilmington di Carolina Utara yang mengakibatkan kemusnahan yang dahsyat, anak perempuan saya sudah bersedia untuk meninggalkan rumahnya. Dia menunggu sehingga saat terakhir dengan harapan ribut itu akan reda dan berlalu. Tetapi sekarang dia mengemaskan kertas, gambar, dan barang-barang penting dengan tergesa-gesa, sambil memutuskan apa yang perlu dibawanya. “Saya tidak menjangka bahawa begitu sukar untuk meninggalkan semua benda ini , Saya tidak tahu apa yang akan terjadi apabila saya kembali,” katanya.
Badai kehidupan melanda kita dalam pelbagai bentuk: taufan, tornado, gempa bumi, banjir, masalah dalam perkahwinan atau mengenai anak-anak yang tidak terjangka, masalah kesihatan, atau masalah kewangan yang berlaku secara tiba-tiba. Begitu banyak benda berharga boleh hilang dalam masa yang singkat.
Alkitab menunjukkan kita tempat paling selamat di tengah-tengah ribut: “Allah perlindungan dan kekuatan kita; Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan. Oleh itu, kita tidak akan takut, walaupun bumi gempa dan gunung-gunung jatuh ke dasar laut” (Mazmur 46:2–3).
Pemazmur ini berasal daripada keturunan yang sebelumnya melayani Tuhan. Akan tetapi mereka kemudian memberontak Tuhan dan binasa dalam gempa bumi (lihat Bilangan 26:9–11). Mazmur yang dipersembahkan mereka menunjukkan kerendahan hati dan pemahaman yang mendalam tentang keagungan, belas kasihan dan penebusan Tuhan yang penuh kasih.
Tuhan mengatasi semua kesukaran yang melanda hidup kita. Mereka yang datang kepada Penyelamat akan mendapati bahawa Dia tidak pernah goyah. Kita mendapat kedamaian dalam naungan kasih-Nya yang abadi.