Setelah kawan saya disahkan menghidapi penyakit kanser, doktor menasihati dia supaya mengurus segala urusannya yang perlu. Dia menelefon saya sambil menangis kerana bimbang tentang suami dan anak-anaknya. Saya berkongsi permintaan doa dengan kawan-kawan kami. Kami gembira apabila doktor yang kedua menggalakkannya tidak berputus asa dan menjamin pasukan perubatannya akan melakukan yang terbaik untuk membantu. Walaupun terdapat hari-hari yang lebih sukar, namun dia menumpukan sepenuh perhatiannya kepada Tuhan dan bukan pada dirinya. Dia tidak pernah berputus asa.

Keteguhan iman kawan saya mengingatkan saya tentang wanita yang terdesak dalam Lukas 8. Selama 12 tahun mengalami penderitaan, kekecewaan dan pengasingan yang berterusan, dia mendekati Yesus dari belakang dan menyentuh hujung jubah-Nya. Penyembuhan yang berlaku dengan serta-merta adalah hasil daripada perbuatan imannya: terus-menerus berharap … percaya bahawa Yesus mampu melakukan apa yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain … tidak kira betapa mustahil keadaannya (ayat 43–44).

Kita mungkin mengalami rasa sakit yang tidak berkesudahan, situasi yang kelihatannya tiada harapan, atau penantian yang kelihatannya tidak tertahan. Kita mungkin boleh menahan keadaan apabila masalah yang menimpa kita semakin menggunung. Atau kita mungkin tidak mengalami penyembuhan yang kita inginkan apabila kita terus mempercayai Kristus. Walaupun demikian, Yesus mengajak kita terus menjangkau Dia, mempercayai Dia, dan tidak berputus asa serta percaya bahawa Dia sentiasa mampu, sentiasa boleh dipercayai dan sentiasa dalam jangkauan.