Dalam tayangan filem fiksyen Forrest Gump pada tahun 1994, Forrest menjadi terkenal kerana lariannya. Apa yang bermula sebagai joging “ke penghujung jalan” telah berterusan selama 3 tahun, 2 bulan, 14 hari dan 16 jam. Setiap kali dia tiba di destinasinya, dia menetapkan satu lagi sasaran dan terus berlari, melepasi seluruh Amerika Syarikat, sehinggalah pada suatu hari dia tidak ingin berlari lagi. “Keinginan untuk berlari” ialah cara dia memulakan lariannya. Forrest berkata, “Pada suatu hari, tanpa sebab tertentu, saya memutuskan untuk berlari sahaja.”
Tidak seperti larian Forrest yang kelihatan aneh, Rasul Paulus meminta para pembacanya mengikut teladannya dan “larilah sedemikian rupa sehingga kamu mendapat hadiah itu” (1 Korintus 9:24). Seperti atlet yang berdisiplin, kita berlari—seperti cara kita menjalani kehidupan kita—mungkin ia bermakna bahawa kita harus menolak benda-benda yang kita suka. Kesediaan untuk melepaskan hak-hak kita mungkin dapat membantu kita menjangkau orang lain dengan berita baik tentang penyelamatan daripada dosa dan kematian.
Dengan hati dan minda kita yang dilatih dengan matlamat menjemput orang lain untuk berlari bersama kita, kita turut diyakinkan dengan hadiah yang kekal—persekutuan abadi dengan Tuhan. Mahkota pemenang yang diberikan Tuhan akan kekal selama-lamanya; kita memenanginya melalui cara menjalani kehidupan kita yang bertujuan untuk memuliakan Dia dengan bergantung pada kekuatan-Nya. Inilah alasan kita berlari!