Dalam cerita dongeng kuno The Boy and Filberts (kacang hazel), seorang budak lelaki memasukkan tangannya ke dalam balang kacang dan mengambil segenggam penuh kacang. Tangannya begitu penuh dengan kacang sehingga tidak dapat dikeluarkan daripada balang. Oleh sebab dia tidak sanggup melepaskan sedikit pun daripada apa yang diperolehinya, budak itu mula menangis. Akhirnya, dia dinasihatkan supaya melepaskan beberapa biji kacang daripada genggamannya supaya dia dapat mengeluarkan tangannya daripada balang itu. Ketamakan boleh mendatangkan akibat yang dahsyat.

Pengkhutbah, guru yang bijak, menggambarkan ketamakan dengan menggunakan pengajaran mengenai tangan dan apa yang diperkatakannya tentang kita. Dia membandingkan dan membezakan orang yang malas dengan orang yang tamak apabila dia menulis: “Hanya orang bodoh berpangku tangan dan mati kelaparan. Mungkin itu benar, tetapi lebih baik mempunyai sedikit disertai fikiran tenang, daripada sentiasa bekerja keras dengan dua belah tangan dan mengejar angin” (4:5-6). Sementara orang yang malas sering menangguhkan pekerjaan sehingga mereka dibinasakan. Mereka yang mengejar kekayaan menyedari bahawa usaha mereka adalah “sia-sia, dan satu cara hidup yang menyedihkan!” (ayat 8).

Menurut Pengkhutbah, keadaan yang ideal adalah melepaskan diri daripada genggaman ketamakan agar dapat mencari kepuasan dalam apa yang sebenarnya milik kita, kerana apa kita miliki akan berkekalan. Seperti yang dikatakan Yesus, “Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati?” (Markus 8:36).