Untuk persediaan bagi temu duga pekerjaan pertama anak kami, Xavier, suami saya Alan, menyerahkan satu pek kad ucapan terima kasih kepada dia untuk diberikan kepada bakal majikan selepas temu duga. Alan kemudian berpura-pura memainkan peranan sebagai penemu duga pengambilan pekerja dengan menggunakan pengalamannya sebagai pengurus selama beberapa dekad untuk bertanya soalan kepada Xavier. Selepas itu, anak kami memasukkan beberapa salinan resumenya ke dalam fail. Dia tersenyum apabila Alan mengingatkannya tentang kad tersebut. “Saya tahu,” katanya. “Nota terima kasih yang ikhlas akan membezakan saya daripada semua pemohon lain.”
Ketika pengurus menelefon untuk menawarkan pekerjaan kepada Xavier, dia mengucapkan terima kasih atas kad tulisan tangan tersebut yang diterimanya untuk pertama kali sejak bertahun-tahun.
Ucapan terima kasih membawa kesan yang berkekalan. Doa-doa tulus dan penyembahan kesyukuran para pemazmur dipelihara dalam kitab Mazmur. Walaupun terdapat 150 buah mazmur, dua ayat ini mencerminkan mesej kesyukuran: “Aku akan memuji Engkau dengan segenap hatiku, TUHAN, dan menceritakan segala keajaiban yang telah Engkau lakukan. Aku akan menyanyi dengan riang kerana Engkau, dan menyanyikan pujian kepada-Mu, Yang Maha Tinggi” (Mazmur 9:2-3).
Kita tidak mungkin dapat mengucapkan terima kasih untuk semua perbuatan Tuhan yang indah dalam kehidupan kita. Tetapi kita boleh bermula dengan mengucapkan terima kasih yang ikhlas melalui doa kita. Kita boleh memupuk gaya hidup yang bersyukur, memuji Tuhan dan mengakui semua yang dilakukan-Nya, serta segala yang dijanjikan-Nya.
ILHAM
Mazmur 9 dan 10 mungkin pada asalnya adalah sebuah sajak silang kata dalam bahasa Ibrani yang bermula dengan huruf-huruf berturutan mengikut abjad Ibrani. Tidak seperti tulisan ratapan (doa atau puisi tentang kesedihan yang mendalam kerana kesukaran dan kesusahan hidup), mazmur-mazmur ini bermula dengan keyakinan yang mendalam dan pujian kepada Tuhan. Walaupun di tengah-tengah pencubaan, pengarang mengakui bahawa Tuhan telah melakukan perkara-perkara indah dan respons kita yang sepatutnya adalah memberi kesyukuran, menyebarkan berita tentang perbuatan-perbuatan itu, dan bergembira dan menyanyikan pujian kepada nama-Nya (9:2-3).Dalam Mazmur 9, kita mendapat satu pelajaran. Tuhan bukan sahaja telah melakukan perkara-perkara hebat seperti membebaskan umat-Nya dari Mesir, menjaga mereka di padang gurun, dan memberi mereka Tanah Perjanjian, malahan juga perbuatan-perbuatan-Nya adalah bersifat peribadi. Tuhan menunjukkan kebaikan-Nya dan menyingkapkan rancangan-Nya dengan cara yang hebat dan peribadi.