Pelayanan Tom dan Mark membawa kesegaran dalam hidup orang Haiti. Ini jelas kelihatan melalui video yang dikongsi mereka: sekumpulan kanak-kanak ketawa riang dan menari di bawah sebuah pancuran air—pengalaman mereka yang pertama. Dua orang lelaki itu bekerja dengan gereja tempatan untuk memasang sistem penapisan air pada perigi-perigi di Haiti. Sistem penapisan air ini memberikan kemudahan dan memanjangkan tempoh hayat seseorang kerana penyakit-penyakit yang berkaitan dengan air yang tercemar dapat dicegah. Dengan adanya air bersih dan segar, ini memberikan harapan bagi masa hadapan mereka.

Yesus merujuk kepada “air yang memberikan hidup” dalam Yohanes 4 untuk memberikan idea yang sama tentang sumber kesegaran yang berterusan. Dalam keadaan yang penat dan dahaga, Yesus meminta minum daripada seorang wanita Samaria (ayat 4-8). Permintaan ini menujukan perbualan yang Yesus menawarkan “air yang memberikan hidup” kepada wanita tersebut (ayat 9-15)—air yang boleh menjadi sumber hidup dan harapan, seperti “mata air yang memancar … dan memberi … hidup sejati dan kekal” (ayat 14).

Kita kemudian memahami maksud “air yang memberikan hidup” ini dalam Yohanes, ketika Yesus berkata, “Sesiapa yang dahaga hendaklah datang kepada-Ku untuk minum,” Dia mengisytiharkan bahawa sesiapa sahaja yang percaya kepada-Nya “dari dalam hatinya akan memancar mata air yang memberikan hidup.” Yohanes menghuraikan, “Yesus berkata-kata tentang Roh Allah, yang akan diterima oleh orang yang percaya kepada-Nya” (7:37-39).

Melalui Roh Kudus, semua orang percaya disatukan kepada Kristus dan boleh mendapatkan kuasa, harapan, dan sukacita yang tiada batasannya, yang dapat ditemukan dalam Tuhan. Seperti air yang memberikan hidup, Roh Kudus hidup dalam orang percaya dan menyegarkan dan memperbaharui kehidupan mereka.