Louise menderita penyakit otot. Sewaktu keluar dari stesen kereta api pada suatu hari, dia mendapati dirinya harus menaiki tangga yang besar tanpa lif atau eskalator. Sewaktu dia hampir menangis, Louise melihat seorang lelaki yang tiba-tiba muncul, mengangkat begnya dan dengan lembut menolongnya menaiki tangga. Apabila dia menoleh untuk berterima kasih, orang itu sudah pergi.
Michael sudah terlambat untuk menghadiri satu mesyuarat. Dalam keadaan yang tertekan disebabkan hubungan yang rosak, tayar keretanya juga bocor sewaktu mengharungi lalu lintas London. Ketika dia berdiri dalam hujan dengan keadaan yang tidak berdaya, seorang lelaki muncul di kalangan orang ramai dan menolong dia untuk menukar tayar keretanya. Sewaktu Michael berpaling untuk berterima kasih, orang itu sudah pergi.
Siapakah pembantu-pembantu yang misteri ini? Orang baik yang tidak dikenali, atau malaikat?
Imej malaikat yang terkenal sebagai makhluk bersayap dan bersinar hanya separuh benar. Sementara ada malaikat yang wujudnya sedemikian (Yesaya 6:2; Matius 28:3), ada yang datang dengan kaki berdebu, bersedia untuk makan (Kejadian 18:1-5) dan dengan mudah disalah anggap sebagai orang biasa (Hakim-Hakim 13:16). Penulis Ibrani berkata dengan melayani orang yang tidak dikenali, kita melayani malaikat tanpa menyedarinya (13:2).
Kita tidak tahu sama ada orang yang telah menolong Louise dan Michael adalah malaikat. Akan tetapi menurut Alkitab, kemungkinan mereka adalah malaikat. Para malaikat sedang bekerja sekarang, menolong umat Tuhan (Ibrani 1:14). Mereka boleh kelihatan seperti orang biasa di jalanan.
ILHAM
Cendekiawan-cendekiawan tidak pasti mengenai pengarang, tarikh penulisan, dan pembaca kitab Ibrani, tetapi kitab ini kelihatan ditulis untuk orang Yahudi (Ibrani) yang memperhatikan pernyataan-pernyataan Yesus atau bergelut dengan iman mereka. Fasal 1-10 merujuk kepada keunggulan Kristus ke atas malaikat-malaikat, Musa, dan imam-imam besar.Dalam fasal 13, penulis menyimpulkan suratnya dengan gesaan-gesaan terakhir. Ayat 1 bermula dengan satu panggilan untuk mengekalkan kasih persaudaraan. Kemudian ayat 2 menggalakkan para pembaca memperluas kasih itu dengan menghulurkan kasih kepada orang yang tidak dikenali (mereka yang berada di luar masyarakat) dengan menawarkan makanan dan tempat tinggal sementara. Perintah ini telah diperkuat dengan pengamatan bahawa sesetengah orang “menyambut malaikat tanpa menyedarinya”, dan merujuk kepada pertemuan-pertemuan Abraham, Gideon, dan Manoah serta isterinya (Kejadian 18:2, 16; Hakim-Hakim 6:11; 13:2-11). Ayat 3 memberi panggilan kepada para pembaca supaya mengingati dan menunjukkan empati kepada orang tahanan dan golongan yang dianiayai.