Sebuah pasu bunga kaca berisi bunga bakung bentuk loceng, tulip merah jambu dan bunga dafodil menyambut Kim di pintu hadapan rumahnya. Untuk tempoh 7 minggu, seorang yang percaya kepada Yesus tetapi tidak dikenali, telah menghantar jambak-jambak bunga yang cantik dari sebuah kedai bunga kepada Kim. Setiap hadiah bulanan itu dikirimkan dengan nota yang dipenuhi dorongan firman Tuhan dan ditandatangani dengan kata-kata ini: Dengan kasih, Yesus.
Kim mengirimkan gambar-gambar bunga ini di Facebook. Bunga-bunga itu memberinya peluang untuk bersyukur atas kebaikan seseorang dan memaklumkan cara Tuhan yang menyatakan kasih kepadanya melalui umat-Nya. Ketika dia terus berharap kepada Tuhan dalam pergelutan dengan penyakit tenat, setiap jambak bunga yang berwarna-warni dan nota tulisan tangan mengesahkan belas kasihan Tuhan untuk dirinya.
Pengirim bunga secara rahsia telah mencerminkan motif hati yang harus dimiliki seseorang apabila memberi, seperti yang dinasihati Yesus. Tuhan memberi amaran tentang amalan berbuat baik di hadapan umum “supaya dilihat orang” (Matius 6:1). Perbuatan baik yang kita lakukan adalah penyataan penyembahan kita yang melimpah keluar dari hati yang bersyukur atas semua yang telah dilakukan Tuhan untuk kita. Individu yang mengheboh-hebohkan kebaikan sendiri dengan harapan untuk mendapat hormat akan beralih fokus daripada Pemberi segala sesuatu yang baik, iaitu Yesus.
Tuhan tahu apabila kita memberi dengan niat yang baik (ayat 4). Dia hanya mahu kemurahan kita didorong oleh kasih apabila kita memberi kemuliaan, hormat dan pujian kepada-Nya.
ILHAM
Matius 6 merupakan sebahagian daripada Khutbah Di atas Bukit Kristus yang terkenal (Matius 5:3-7:27). Dalam fasal ini, Dia menegaskan tiga perkara yang orang percaya harus lakukan secara tersembunyi: memberi (ayat 1-4), berdoa (ayat 5-15), dan berpuasa (ayat 16-18). Untuk menjelaskan setiap tindakan ini Yesus bermula dengan satu larangan, memberi satu arahan, dan mengakhiri dengan satu perjanjian: “Bapa kamu yang melihat perbuatan yang tersembunyi itu akan memberikan pahala kepada kamu” (ayat 4, 6, 18).Sebaliknya, orang munafik menunjukkan tindakan-tindakan mereka “supaya dipuji orang” (ayat 2). Perkataan hipokrit berasal daripada bahasa Yunani hypokrites dan merujuk kepada pelakon-pelakon dalam sesebuah pertunjukan. Perkataan ini bermaksud kekurangan keikhlasan dan ketulenan. Yesus menegaskan kepentingan motif di sebalik tindakan-tindakan kita.