“Saya hanya mahu orang lain mengingati saya selama seratus tahun dari sekarang,” kata penulis skrip lakon layar Rod Sterling pada tahun 1975. Sebagai pereka siri TV The Twilight Zone, Sterling mahu dirinya dikatakan sebagai “Dia seorang penulis”. Kebanyakan kita mempunyai keinginan yang sama seperti Sterling untuk meninggalkan warisan, iaitu sesuatu yang dapat membawa makna dan nilai kekekalan.

Cerita Ayub mengisahkan kehidupan seseorang yang bergelut dengan makna kehidupan di tengah-tengah kehidupan yang hanya seketika. Dalam sekelip mata, bukan hanya harta milik, malahan juga anak-anaknya yang tersayang telah diambil daripadanya. Kemudian kawan-kawannya menuduh bahawa dia memang patut menerima nasibnya. Ayub berseru, “Alangkah baiknya jika kata-kataku dicatat, dan ditulis di dalam kitab supaya diingat; ataupun dipahat pada batu, agar kekal sepanjang waktu” (Ayub 19:23-24).

Kata-kata Ayub telah “dipahat pada batu selamanya”. Kita boleh menemukan kata-kata ini dalam Alkitab. Tetapi Ayub lebih mengutamakan kehidupan yang penuh makna daripada warisan yang akan ditinggalkannya. Dia menemukan makna itu dalam sifat Tuhan. “Aku tahu bahawa di syurga ada Penyelamatku; akhirnya Dia akan datang menolong aku” (19:25), kata Ayub. Pengetahuan ini memberinya kerinduan yang tepat. “Akan kulihat Dia memihak kepada aku. Mataku akan memandang Dia, bukan yang lain. Batinku merindu di dalam dadaku,” kata Ayub (ayat 27, AVB).

Akhirnya, Ayub tidak menemukan apa yang dijangkakannya. Dia menjumpai sesuatu yang lebih hebat—Sumber bagi segala makna dan kekekalan hidup (42:1-6).