Cerita “Sup Batu” mempunyai banyak versi. Ia satu cerita tentang seorang lelaki lapar yang pergi ke sebuah kampung tetapi tiada seorang pun yang sudi memberikan secebis makanan pun kepadanya. Dia memasukkan seketul batu dan air ke dalam sebuah periuk dan meletakkannya di atas api. Rasa ingin tahu menyebabkan orang kampung memperhatikan lelaki ini sewaktu dia mengacau supnya itu. Kemudian seorang membawa dua biji ubi kentang untuk dicampurkan ke dalam sup tersebut, seorang lagi membawa beberapa biji lobak. Ada orang membawa bawang, seorang lagi membawa segenggam barli. Seorang petani menyumbang sedikit susu. Akhirnya, “sup batu” itu menjadi sup krim yang sangat lazat.
Cerita ini menggambarkan nilai berkongsi, tetapi juga mengingatkan kita memberi apa yang kita miliki, walaupun itu kelihatannya tidak bererti. Dalam Yohanes 6:1-14, kita membaca tentang seorang anak lelaki antara orang ramai yang telah terfikir untuk membawa bekalan makanan. Para pengikut Yesus berfikir bahawa bekalan budak kecil itu yang hanya ada lima ketul roti barli dan dua ekor ikan tidak mencukupi. Tetapi apabila makanan itu diserahkan kepada Tuhan, Yesus melipatgandakannya dan dapat memberi makan kepada ribuan orang lapar!
Saya pernah mendengar seseorang berkata, “Anda tidak perlu memberi makan kepada 5000 orang. Anda hanya perlu membawa roti dan ikan anda.” Sebagaimana Yesus mengambil makanan seorang budak kecil dan melipatgandakannya jauh melebihi apa yang kita jangkakan dan bayangkan (ayat 11), demikian Dia akan menerima usaha, kebolehan dan pelayanan yang kita serahkan kepada-Nya. Dia hanya mahu kita bersedia membawa apa yang kita miliki kepada-Nya.