“Mengejar tornado sering kali diibaratkan satu permainan catur tiga dimensi gergasi yang dimainkan di kawasan yang meliputi ribuan batu persegi,” kata Warren Faidley, seorang jurugambar, wartawan dan pengejar ribut. Dia meneruskan, “Berada di tempat yang tepat pada masa yang tepat seumpamanya satu simfoni antara ramalan cuaca dan penjejakan laluan ribut sementara mengelakkan semua benda yang diterbangkan oleh angin ribut, misalnya ketulan hujan batu sebesar bola sofbol, ribut pasir dan peralatan ladang yang berat”.

Kata-kata Faidley membuatkan telapak tangan saya berpeluh dan jantung saya berdegup lebih cepat. Walaupun saya mengagumi keberanian dan semangat saintifik yang diperlihatkan oleh pengejar ribut, saya enggan berada di tengah-tengah keadaan cuaca yang berbahaya.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman, saya tidak perlu mengejar ribut dalam hidup saya kerana ributlah yang seolah-olah mengejar saya. Pengalaman ini dikatakan pemazmur dalam Mazmur 107 yang bercerita tentang para nelayan terperangkap dalam ribut. Mereka dikejar oleh akibat pilihan-pilihan mereka yang salah, tetapi pemazmur berkata, “Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan. Dia meneduhkan angin ribut, dan ombak pun menjadi tenang. Mereka bersukacita kerana ketenangan itu” (Mazmur 107:28-30).

Sama ada ribut dalam hidup kita diakibatkan oleh diri kita sendiri, ataupun diakibatkan hidup di dunia yang jahat ini, namun Bapa kita lebih berkuasa. Apabila kita dikejar oleh ribut, hanya Dia yang dapat menenangkannya atau menenangkan ribut dalam hati kita.