Setelah Jim Elliot dan 4 orang misionari Kristian dibunuh oleh suku kaum Huaorani pada tahun 1956, tiada seorang pun dapat menyangka perkara yang akan berlaku selepas itu. Isteri Jim, Elisabeth, anak perempuan mereka yang muda, dan adik perempuan seorang misionari memilih untuk rela tinggal di tengah-tengah puak yang telah membunuh keluarga kesayangan mereka. Mereka tinggal di kalangan masyarakat Huaorani untuk beberapa tahun, mempelajari bahasa mereka dan menterjemahkan Alkitab untuk mereka. Kesaksian wanita-wanita ini tentang pengampunan dan kebaikan telah meyakinkan kaum Huaorani mengenai kasih Tuhan terhadap mereka, dan ramai telah menerima Yesus sebagai Penyelamat mereka.
Tindakan Elisabeth dan sahabatnya merupakan satu teladan yang sangat menakjubkan dalam soal tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, melainkan membalas kejahatan dengan kebaikan (Roma 12:17). Rasul Paulus menasihati jemaah di Roma agar memperlihatkan perubahan yang telah dikerjakan Tuhan dalam kehidupan setiap orang percaya melalui perbuatan-perbuatan mereka. Apakah fikiran Paulus? Mereka perlu mengatasi keinginan yang cenderung membalas dendam, tetapi menunjukkan kasih kepada musuh dengan memenuhi keperluan mereka, misalnya menyediakan makanan dan air untuk musuh mereka.
Mengapakah harus melakukan hal ini? Paulus memetik satu ayat daripada Perjanjian Lama. “Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, berilah dia minuman.” (ayat 20; Amsal 25:21-22). Rasul Paulus menyatakan bahawa kebaikan yang ditunjukkan kepada musuh akan memenangi hati mereka dan menyalakan api pertaubatan dalam jiwa mereka.
ILHAM
Surat Paulus kepada orang Roma mengikut corak konsisten yang menjadi sifat khas kebanyakan suratnya kepada gereja-gereja lain. Dia bermula dengan satu perbincangan tambahan mengenai isu-isu teologi penting dan kemudian disusuli dengan tindakan-tindakan yang praktikal. Isu-isu teologi dikatakan menunjukkan apa yang kita harus percaya, manakala tindakan yang praktikal kemudian menjelaskan kelakuan kita yang patut kerana apa yang kita percayai. Pembukaan dalam Roma 12 yang memanggil kita melayani Tuhan dengan komited telah mengajar kita tindakan yang praktikal, seperti dikisahkan secara tepat dalam teks bacaan hari ini (ayat 17-21). Senarai tindakan ini bertujuan menunjukkan kehidupan yang memiliki hubungan dengan Tuhan, yang Anak-Nya telah berkorban demi memberikan pengampunan dan hidup baru kepada kita.Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai surat Paulus kepada gereja di Roma, bacalah Knowing God through Romans (Mengenal Tuhan Melalui Roma) di discoveryseries.org/sb221 (Bahasa Inggeris).