Di utara Thailand, pasukan bola sepak remaja, Wild Boars telah memutuskan untuk menjelajahi sebuah gua bersama-sama. Selepas sejam perjalanan, mereka berpatah balik dan mendapati laluan masuk telah dibanjiri. Paras air yang semakin naik memaksa mereka bergerak lebih jauh ke dalam gua. Hari demi hari, mereka bergerak lebih ke dalam lagi sehingga mereka terperangkap lebih daripada 4 kilometer jaraknya di dalam gua. Apabila mereka diselamatkan oleh pasukan penyelamat yang berani selepas dua minggu, ramai orang tertanya-tanya bagaimana mereka terperangkap dalam keadaan yang begitu tidak berdaya. Jawapan: langkah demi langkah.

Di Israel, Nabi Natan berhadapan dengan Daud kerana dia membunuh askarnya yang setia, Uria. Bagaimanakah seorang yang dikehendaki Tuhan (1 Samuel 13:14) dapat melakukan pembunuhan? Langkah demi langkah. Daud tidak menjalankan rancangan pembunuhan dalam masa satu hari. Dari masa ke masa, Daud akhirnya mengambil keputusan buruk untuk membunuh Uria. Perkara itu bermula dengan pandangan kedua kali yang beransur menjadi satu nafsu. Dia menyalahgunakan kuasanya sebagai raja dengan memanggil isteri Uria, Batsyeba, kemudian berusaha menutup kehamilan Batsyeba dengan memanggil suaminya pulang dari medan peperangan. Apabila Uria tidak mahu melawat isterinya sewaktu pasukannya sedang berperang, Daud memutuskan bahawa dia harus mati.

Kita mungkin tidak disabitkan bersalah atau terperangkap dalam gua akibat kesilapan kita, namun perjalanan hidup kita adalah maju ke hadapan sama ada menuju ke arah Yesus ataupun ke arah masalah. Masalah besar tidak terbentuk dalam masa satu malam. Masalah besar menghancurkan kita secara perlahan-lahan, langkah demi langkah.