Sebelum saya percaya kepada Yesus, saya telah mendengar Injil dikhutbahkan tetapi saya terkeliru tentang identiti-Nya. Bagaimanakah Dia dapat memberi pengampunan ke atas semua dosa saya sedangkan hanya Tuhan yang mampu mengampunkan dosa? Saya mendapati bahawa bukan saya seorang sahaja yang mengalami masalah sedemikian apabila saya membaca buku penulisan J. I. Packer, Knowing God (Mengenal Tuhan). Packer berkata, “Pengakuan orang Kristian yang paling menggoncangkan dan sukar diterima adalah Yesus dari Nasaret adalah Tuhan yang telah menjadi manusia … Yesus ialah Tuhan sepenuhnya dan manusia sepenuhnya.” Namun inilah kebenaran tentang penyelamatan Tuhan.
Apabila rasul Paulus berkata “Kristus serupa dengan Allah”, dia berkata Yesus adalah Tuhan yang sempurna iaitu Pencipta dan Pemelihara segala sesuatu di syurga dan di bumi—tetapi Dia juga adalah manusia (Kolose 1:15-17). Oleh sebab kebenaran ini, maka kita yakin bahawa melalui kematian dan kebangkitan Kristus, Dia bukan hanya menanggung akibat dosa kita, tetapi Dia juga telah menebus manusia, supaya semua ciptaan dapat didamaikan semula dengan Tuhan (ayat 20-22).
Dengan satu perbuatan ajaib yang penuh kasih Tuhan sendiri, Tuhan Bapa menyatakan diri-Nya dalam dan melalui firman Tuhan melalui kuasa Roh Kudus dan kehidupan Anak Tuhan. Semua yang percaya kepada Yesus akan selamat kerana Dia adalah Imanuel—Tuhan menyertai kita. Haleluya!