Kadangkala apabila anjing Labrador saya, Max mahukan perhatian, anjing ini akan menggigit sesuatu daripada milik saya dan menunjukkan benda itu di hadapan saya. Pada suatu pagi sewaktu saya menulis di meja dan duduk membelakangi Max, anjing ini meragut dompet dari saku belakang dan lari. Tetapi apabila Max menyedari bahawa saya tidak melihat perbuatannya itu, anjing ini kembali dan menyinggung saya dengan hidungnya—dompet di mulut, mata yang bersinar-sinar, ekor bergoyang dengan mengingini saya untuk bermain.

Kelakuan Max yang lucu membuatkan saya ketawa tetapi juga mengingatkan saya tentang keterbatasan saya dalam hal mempedulikan orang lain. Sering kali saya mahu meluangkan waktu bersama keluarga dan kawan-kawan, tetapi perkara-perkara lain mengisi masa dan mengambil perhatian saya. Tanpa disedari, masa sudah berlalu dan kasih saya tidak dapat dinyatakan.

Kita berasa terhibur kerana mengenal Bapa Syurgawi yang dapat memberi perhatian kepada setiap kita dengan cara yang paling intim, termasuklah membekalkan nafas dalam paru-paru kita selama kita hidup. Dia berjanji kepada umat-Nya, “Aku akan memelihara kamu sampai kamu beruban. Aku telah menciptakan kamu dan tetap akan menjaga kamu” (Yesaya 46:4).

Tuhan sentiasa ada masa untuk menyertai kita. Tidak kira betapa kompleks atau susah keadaan kita, Tuhan memahaminya dan Dia sentiasa berada di sisi kita apabila kita berseru kepada-Nya dalam doa. Kita tidak perlu beratur dalam satu barisan untuk menantikan kasih Tuhan yang tidak terbatas.