Sewaktu kanak-kanak, saya menganggap lagu Inggeris “Dia Melihat Di Sebalik Salahku dan Nampak Keperluanku (Need)” hasil gubahan Dottie Rambo pada tahun 1967, sebagai “Dia Melihat Di Sebalik Salahku dan Nampak Lututku (Knees)”. Pada ketika itu, saya selalu tertanya-tanya sebabnya Tuhan mahu melihat lutut saya. Adakah mungkin kerana lutut-lutut itu lemah? Saya tahu maksud lemah lutut ialah “takut”. Kemudian saya mendapati bahawa Dottie menggubah lagu itu yang berbicara tentang kasih Tuhan yang tidak bersyarat, sebagai respons kepada saudara lelakinya Eddie yang berfikir bahawa dia tidak mungkin dikasihi Tuhan kerana perbuatan-perbuatan jahat yang pernah dilakukannya. Dottie meyakinkan Eddie bahawa Tuhan melihat kelemahannya namun tetap mengasihinya.
Kasih Tuhan yang tidak bersyarat sangat ketara sepanjang sejarah umat Israel dan Yehuda yang lemah lutut. Dia mengutus nabi-nabi seperti Yesaya untuk menyampaikan perintah Tuhan kepada umat-Nya yang sesat. Dalam Yesaya 35, nabi berkongsi harapan tentang pemulihan daripada Tuhan. Dorongan yang diterima daripada mesej harapan tentang “kuatkanlah tangan yang lemah, dan teguhkanlah lutut yang goyah” (ayat 3). Melalui dorongan yang diterima mereka, umat Tuhan pula mampu mendorong orang lain. Justeru itu dalam ayat 4, nabi Yesaya berkata “Katakanlah kepada tiap-tiap orang yang tawar hati, ‘Kuatkanlah hatimu dan jangan takut!’ ”
Adakah anda lemah lutut? Bercakaplah dengan Bapa Syurgawi. Dia menguatkan lutut yang lemah melalui kebenaran firman dan kuasa hadirat-Nya. Anda dapat mendorong orang lain.
ILHAM
Yesaya 35 menyusuli enam kedukaan dalam fasal 28–33 yang mengumumkan hukuman Tuhan ke atas bangsa-bangsa berdosa, dan fasal 34 mengumumkan hukuman ke atas mereka yang menindas umat Tuhan. Fasal 35 adalah amat berbeza kerana bahagian ini menyebut tentang berkat masa depan bagi Sion yang dipulihkan; fasal ini menggambarkan kedamaian akan wujud di tengah-tengah kehuru-haraan kerana fasal 36–39 beralih untuk berfokus pada ancaman pembuangan orang Babilonia, yang melambangkan hukuman untuk dosa Israel.Berbanding dengan tema kemurkaan Tuhan dan hukuman yang mengakibatkan kemusnahan pada masa akan datang, fasal 35 berjanji bahawa umat Tuhan akan menjadi waris zaman baru dan menyebutkan pemulihan alam dan penyelamatan yang termasuklah pembebasan daripada musuh mereka. Walaupun bangsa-bangsa lain, termasuklah Israel akan dihukum, akhirnya Tuhan dengan kebaikan-Nya akan menebus tanah itu.