Secara amnya anda boleh mengenal pasti kedudukan sesuatu tempat dalam sesebuah peta berdasarkan tanda di tengah-tengahnya. Biasanya kita berfikir bahawa rumah kita merupakan pusat dunia. Justeru itu, kita meletakkan titik di tengah peta dan melakarkannya dari situ. Mungkin jarak di antara bandar-bandar yang berdekatan adalah 80km ke utara atau harus memandu ke arah selatan selama setengah hari. Akan tetapi, semua penerangan tersebut berkaitan dengan kedudukan kita. Pemazmur melukis “peta” mereka berdasarkan rumah Tuhan di dunia ini dalam Perjanjian Lama. Maka, pusat geografi dalam Alkitab ialah di Yerusalem.

Mazmur 48 adalah salah satu mazmur yang memuji Yerusalem. “Di kota Allah kita, di atas bukit-Nya yang suci” adalah “tinggi dan indah, menggirangkan seluruh dunia” (ayat 2-3). Sebab “Allah berada di dalam kota-Nya yang berkubu,” Dia “membela kota itu selama-lamanya” (ayat 4, 9). Kemasyhuran Tuhan bermula dari Rumah Tuhan di Yerusalem dan tersebar “di seluruh dunia” (ayat 10-11).

Rumah anda bukan pusat dunia Alkitab kecuali anda membaca artikel ini di Yerusalem. Namun kawasan anda sangat penting, kerana pekerjaan Tuhan tidak akan berhenti sehingga pujian kepada-Nya sampai ke “seluruh dunia” (ayat 11). Adakah anda mahu dipakai oleh Tuhan untuk mencapai matlamat-Nya? Beribadatlah setiap minggu bersama dengan orang percaya, dan hiduplah setiap hari untuk kemuliaan-Nya. Kemasyhuran Tuhan tersebar ke “seluruh dunia” apabila kita mengabdikan seluruh hidup kita dan milik kita kepada Dia.