Bapa muda itu tidak dapat bersabar lagi. Anak kecilnya menjerit, “Aiskrim! Aiskrim!”. Suasana tegang di tengah-tengah pusat membeli-belah yang sesak mula menarik perhatian para pengunjung di sekitarnya. “Baiklah, tapi kita perlu melakukan sesuatu untuk emak dulu, okey?” kata si ayah. “Tidakkkkk! Saya nak aiskrim!” Kemudian seorang wanita berbadan kecil yang berpakaian cantik dengan kasut yang sepadan dengan warna beg tangannya mendekati mereka: “Dia buat perangai,” kata ayah itu. Wanita itu tersenyum dan berkata, “Jangan lupa dia masih sangat kecil dan belum pandai mengawal perasaan. Dia perlukan kamu untuk bersabar dan menemaninya.” Situasi itu tidak bertambah baik dengan serta-merta. Kedua-dua mereka memerlukan masa untuk bertenang pada masa itu.

Kata-kata wanita yang bijak itu serupa dengan kata-kata dalam Mazmur 103. Daud menulis tentang Tuhan yang “pengasih dan penyayang, panjang sabar, dan penuh dengan kasih” (ayat 8). Kemudian dia meneruskan dengan menyeru agar bapa yang di dunia mengikuti teladan Bapa Syurgawi yang “mengasihani anak-anaknya,” dan terlebih lagi “TUHAN mengasihani orang yang menghormati-Nya” (ayat 13). TUHAN Bapa kita “tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ini debu belaka” (ayat 14). Dia tahu kita ini kecil dan lemah.

Kita sering gagal dan dikalahkan oleh hal-hal duniawi. Namun kita boleh diyakinkan bahawa janji ini amat boleh dipercayai kerana Bapa kita panjang sabar, tetap hadir, dan kasih-Nya melimpah ke atas kehidupan kita.