Dalam tempoh dua bulan pada tahun 1994, seramai sejuta puak Tutsi dibunuh di Rwanda, Afrika oleh ahli-ahli puak Hutu yang memburu dan membunuh rakan senegara mereka dengan kejam. Selepas pembunuhan beramai-ramai ini, Biskop Geoffrey Rwubusisi berbincang dengan isterinya, Mary untuk menjangkau para wanita yang kehilangan orang tersayang mereka. Mary berkata, “Saya cuma terasa ingin menangis.” Dia juga telah kehilangan ahli-ahli keluarga yang tersayang. Jawapan biskop itu merupakan respons yang bijak sebagai seorang pemimpin dan suami yang mengambil berat. Dia berkata kepada isterinya, “Mary, kumpulkan semua wanita dan menangislah bersama mereka.” Dia sedar bahawa kepedihan hati isterinya telah membuatkan dia bersedia untuk berkongsi kepedihan dengan orang lain secara unik.

Jemaah, yang merupakan keluarga Tuhan, membolehkan semua orang dapat saling berkongsi kehidupan—perkara yang baik mahupun perkara yang tidak berapa baik. Perkataan “saling” dalam Perjanjian Baru digunakan untuk menyeru, “kamu harus saling mengasihi dengan mesra … Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat … Hendaklah kamu semua hidup rukun” (Roma 12:10,16). Tahap keakraban hubungan kita dalam keluarga Tuhan tertulis dalam ayat 15: “Bersukacitalah dengan mereka yang bersukacita, dan menangislah dengan mereka yang menangis”.

Kedalaman dan besarnya kepedihan hati kita mungkin tidak boleh dibandingkan dengan orang yang terjejas disebabkan oleh pembunuhan kaum. Namun perasaan ini adalah bersifat peribadi dan nyata. Oleh sebab perbuatan Tuhan untuk kita, kepedihan hati Mary boleh dipakai dan dikongsi demi penghiburan dan manfaat orang lain.