Beberapa tahun yang lalu, saya dan anak-anak saya meluangkan beberapa hari untuk berkhemah di hutan Selway-Bitterroot, Utara Idaho, Amerika Syarikat. Tempat ini merupakan tempat habitat beruang, tetapi kami membawa alat penyembur, memastikan tempat perkhemahan bersih, dan berharap agar terhindar daripada beruang.

Pada suatu tengah malam, saya terdengar anak saya Randy, bergegas hendak keluar dari beg tidurnya. Saya pun cepat-cepat memasang lampu suluh dan menyangka bahawa dia dicengkam oleh beruang.

Rupa-rupanya seekor tikus hutan bersaiz 10 cm sedang duduk tegak sambil mengayunkan kaki depannya ke udara. Tikus itu mengetap topi Randy. Makhluk kecil itu terus menyentap sehingga dapat menarik topi tersebut daripada kepala Randy. Saya tertawa, dan tikus itu melepaskan topi tersebut lalu pergi dari situ. Selepas itu, kami masuk semula ke dalam beg tidur kami. Bagaimanapun, saya tidak dapat tidur semula dan berfikir tentang pemangsa lain—Iblis.

Saya teringat tentang Iblis yang telah menggoda Yesus (Matius 4:1-11). Iblis menyerang dengan memetik firman Tuhan. Dengan setiap jawapan, Yesus mengingatkan diri-Nya bahawa Tuhan telah berfirman tentang perkara itu, maka Dia taat kepada Tuhan.

Walaupun Iblis mahu menguasai kita, namun ingatlah bahawa dia juga adalah makhluk yang penakut. Yohanes berkata, “Roh yang ada pada kamu lebih berkuasa daripada roh yang ada pada orang milik dunia ini” (1 Yohanes 4:4).