Dalam buku Riwayat Narnia: Singa, Ahli Sihir dan Almari yang ditulis oleh C. S. Lewis, semua rakyat di Narnia berasa begitu teruja ketika singa perkasa Aslan muncul semula setelah kehilangan untuk masa yang lama. Walau bagaimanapun, kegembiraan mereka bertukar menjadi kesedihan apabila Aslan menyerah kepada desakan Ahli Sihir Putih yang jahat. Aslan kelihatan kalah pada masa itu, namun orang Narnia mengalami kuasanya ketika ngaumannya yang lantang menyebabkan Ahli Sihir melarikan diri dalam ketakutan.

Seperti pengikut-pengikut Aslan dalam karya penulisan Lewis, hamba Elisa berasa putus asa apabila dia bangun pada suatu pagi serta mendapati bahawa dirinya dan Elisa telah dikelilingi oleh tentera musuh. “Malanglah kita, tuan! Apakah yang harus kita lakukan?” dia berseru (2 Raja-Raja 6:15). Respons nabi itu tenang sahaja: “Janganlah takut … Yang di pihak kita lebih banyak daripada yang di pihak mereka” (ayat 16). “Kemudian Elisa berdoa, ‘Ya TUHAN, celikkanlah mata hambaku ini supaya dia dapat melihat!’ TUHAN mengabulkan doanya. Hamba Elisa menengadah dan nampak bukit itu penuh dengan kuda dan kereta kuda berapi di sekeliling Elisa” (ayat 17). Walaupun pada mulanya keadaan kelihatan suram di mata hamba itu, kuasa Tuhan pada akhirnya terbukti lebih besar daripada gerombolan musuh itu.

Keadaan kita yang sukar mungkin menyebabkan kita kehilangan semua harapan, tetapi Tuhan ingin membuka mata kita dan menyatakan bahawa Dia lebih besar.