Penulis lagu Bart Millard menulis sebuah lagu yang menjadi popular pada tahun 2001 yang bertajuk “I Can Only Imagine” (Aku Hanya Dapat Membayangkan). Lagu itu menggambarkan betapa hebatnya berada di hadirat Kristus. Lirik lagu itu menghibur hati keluarga kami, kerana pada tahun berikutnya ketika anak perempuan kami, Melissa, yang berumur 17 tahun meninggal dunia dalam satu kemalangan kereta dan kami membayangkan bagaimana rasanya dia berada di hadirat Tuhan.

Namun kata membayangkan membawa maksud yang berlainan kepada saya pada hari-hari selepas kematian anak saya itu. Apabila bapa rakan-rakan Melissa mendekati saya, mereka berkata, “Saya tidak dapat membayangkan apa yang kamu sedang harungi.”

Pernyataan mereka itu memang membantu. Ini menunjukkan bahawa mereka cuba memahami perasaan kami yang kehilangan orang tersayang dengan cara empati. Mereka mendapati bahawa ini sukar dibayangkan.

Daud menunjukkan betapa dalamnya rasa kehilangan sesuatu yang besar ketika dia menulis melalui “tempat yang gelap gelita” (Mazmur 23:4). Kehilangan orang tersayang adalah demikian, dan kadangkala kita langsung tidak tahu bagaimana hendak mengharungi masa-masa yang bagaikan berada di tempat yang gelap gelita. Kita tidak dapat membayangkan bagaimana kita dapat mencari jalan keluar.

Tetapi seperti yang dijanjikan oleh Tuhan bahawa Dia akan menyertai kita di lembah yang paling gelap sekarang, Dia juga memberikan harapan yang besar untuk masa depan dengan meyakinkan kita bahawa di luar lembah kita akan berada di hadirat-Nya (2 Korintus 5:8). Itu dapat membantu kita mengharungi perkara yang tidak dapat dibayangkan apabila kita membayangkan bahawa kita akan tinggal dengan Tuhan dan orang lain.