Semasa Piala Dunia 2018, penyerang berbangsa Colombia, Radamel Falcao menjaringkan gol pada minit ke-70 mengalahkan Poland dan mendapat kemenangan. Gol yang dramatik itu merupakan gol Falcao yang ke-30 dalam permainan antarabangsa, menjadikan dia penjaring gol terbanyak dari Colombia dalam pertandingan antarabangsa.

Falcao sering menggunakan kejayaannya di padang bola sepak untuk berkongsi imannya. Dia sering mengangkat jersinya selepas menjaringkan gol untuk menunjukkan baju dengan kata-kata yang tertulis, “Dengan adanya Yesus kita tidak pernah keseorangan.”

Kenyataan Falcao menunjukkan janji Yesus yang boleh dipercayai kepada kita, “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman” (Matius 28:20). Yesus tahu bahawa Dia akan kembali ke syurga, maka Dia menghibur para pengikut-Nya dengan meyakinkan mereka bahawa Dia akan sentiasa menyertai mereka, melalui hadirat Roh-Nya (ayat 20; Yohanes 14:16-18). Roh Kristus akan menghibur, membimbing, melindungi dan memberi kuasa kepada mereka apabila mereka memberitakan Berita Baik tentang Yesus ke bandar-bandar yang dekat dan jauh. Apabila mereka mengalami masa kesepian yang amat sukar di tempat-tempat yang tidak biasa bagi mereka, kata-kata Yesus itu mungkin akan terngiang-ngiang di telinga mereka, sebagai peringatan bahawa Dia hadir di kalangan mereka.

Walau ke mana jua kita pergi, baik tempat itu dekat mahupun jauh dari rumah, kita boleh berpegang pada janji yang sama ini selama kita mengikut Yesus ke tempat yang tidak diketahui. Bahkan ketika kita mengalami rasa kesepian, asalkan kita berdoa kepada Yesus, kita dapat menerima penghiburan bahawa Dia menyertai kita.