Geoff kini menjadi seorang pastor belia di bandar yang dia pernah menjadi penagih dadah heroin. Tuhan mengubah hati dan keadaannya dengan cara yang luar biasa. Dia berkata, “Saya mahu menghindarkan anak-anak daripada melakukan kesilapan yang sama dan menderita seperti yang saya lalui.” “Yesus akan menolong mereka,” tambahnya lagi. Lama-kelamaan, Tuhan melepaskan dia daripada menjadi hamba ketagihan dadah dan telah memberi satu pelayanan penting kepadanya tanpa memandang masa silamnya.
Tuhan mempunyai cara untuk membawa kebaikan yang tidak dijangka dalam situasi yang kelihatannya tiada harapan. Yusuf telah dijual menjadi hamba di Mesir dan menghadapi tuduhan palsu serta dipenjarakan. Dia telah dilupakan bertahun-tahun lamanya. Tetapi Tuhan memulihkannya dan meletakkan dia di kedudukan yang berkuasa terus di bawah Firaun, dan dia boleh menyelamatkan banyak nyawa—termasuk nyawa abang-abangnya yang telah meninggalkan dia. Di Mesir, Yusuf berkahwin dan mendapat anak-anak. Dia menamakan anak keduanya Efraim (yang bermaksud “memberikan anak-anak” dalam bahasa Ibrani), dan menyatakan sebab ini: “Allah sudah memberikan anak kepadaku di negeri aku mengalami kesukaran” (Kejadian 41:52).
Kisah Geoff dan Yusuf, dengan jarak masa selama 3000 hingga 4000 tahun, menunjukkan kebenaran sama yang tidak pernah berubah: bahkan tempat-tempat yang paling sukar dalam hidup kita boleh menjadi tanah yang subur bagi Tuhan untuk membantu dan memberkati ramai orang. Kasih dan kuasa Penyelamat kita tidak pernah berubah, dan Dia sentiasa setia kepada orang yang percaya kepada-Nya.