Beberapa tahun selepas kematian tragik pasangan hidup masing-masing, Robbie dan Sabrina jatuh cinta dan seterusnya berkahwin. Hasil daripada perkahwinan tersebut, kedua-dua keluarga mereka telah bergabung. Mereka mendirikan sebuah rumah tangga baru dan menamakannya Havilah (dalam bahasa Ibrani yang bermaksud “bergelut dengan kepedihan hati” dan “melahirkan”). Ini bagaikan penciptaan sesuatu yang indah melalui masa kesengsaraan. Pasangan itu berkata bahawa mereka tidak mendirikan rumah tangga untuk melupakan masa lampau mereka, tetapi “hidup semula daripada debu untuk meraikan harapan.” Bagi mereka, “inilah tempat untuk meraikan hidup dan berpegang pada janji masa hadapan yang dimiliki bersama.”

Inilah gambaran hidup kita yang indah dalam Yesus. Dia menarik hidup kita daripada debu dan Dia menjadi tempat kepunyaan kita. Apabila kita menerima Dia, Dia tinggal di dalam hati kita (Efesus 3:17). Kita menjadi anggota keluarga-Nya melalui Yesus supaya kita dimiliki-Nya (1:5-6). Walaupun kita akan melalui masa-masa sengsara, akan tetapi Dia boleh menggunakan masa sengsara itu untuk tujuan yang baik dalam hidup kita.

Setiap hari kita berpeluang untuk bertumbuh dalam kefahaman kita tentang Tuhan sambil menikmati kasih-Nya dan meraikan apa yang telah diberikan kepada kita. Dalam Dia, ada kehidupan yang memuaskan yang kita tidak dapat miliki tanpa Dia (3:19). Dan kita memiliki janji bahawa hubungan ini akan kekal selama-lamanya. Yesus satu-satunya yang kita perlukan. Dia menjadi alasan kita untuk meraikan hidup serta harapan kita pada masa sekarang dan selamanya.