Pada tahun 1979, Dr. Gabriel Barkay (ahli arkeologi) dan pasukannya menemukan dua buah gulungan perak di sebuah tanah perkuburan di Kota Lama Yerusalem. Pada tahun 2004, selepas kajian yang teliti selama 25 tahun, para cendekiawan mengesahkan bahawa gulungan itu merupakan teks Alkitab tertua yang wujud, yang telah tertimbus pada tahun 600 Sebelum Masihi. Isi gulungan itulah yang menyentuh hati saya—ucapan berkat yang hendak disampaikan Tuhan kepada umat-Nya: “Semoga TUHAN memberkati dan memelihara kamu; Semoga TUHAN baik hati dan murah hati terhadap kamu” (Bilangan 6:24–25).

Dalam memberikan berkat ini, Tuhan menunjukkan Harun dan anak-anaknya (melalui Musa) tentang cara untuk memberkati umat Tuhan bagi pihak-Nya. Pemimpin hendaklah menghafal kata-kata itu dalam bentuk yang diberikan Tuhan supaya boleh menyampaikan mesej kepada umat Israel mengikut kehendak Tuhan. Sebanyak 3 kali mereka mengatakan “TUHAN” sebagai penekanan bahawa Tuhan yang memberi berkat. “Kamu” yang disebut Tuhan sebanyak 6 kali mencerminkan betapa Tuhan menginginkan umat-Nya menerima kasih dan perkenan-Nya.

Renungkan seketika bahawa serpihan-serpihan Alkitab tertua yang wujud menandakan keinginan Tuhan untuk memberkati. Ini adalah peringatan tentang kasih Tuhan yang tidak terhingga dan Dia mahu berhubungan dengan kita. Jika anda berasa jauh daripada Tuhan pada hari ini, berpegang teguhlah pada janji dalam kata-kata purba ini. Semoga TUHAN memberkati dan memelihara kamu.