Carla sudah menelefon dan menghantar mesej. Sekarang dia berdiri di luar pintu pagar rumah abangnya, tetapi tidak dapat menyuruhnya untuk membuka pintu. Abangnya menyembunyikan diri di rumah kerana dilanda kemurungan dan sedang berjuang dengan ketagihan dadah. Carla menyediakan beberapa jenis makanan kegemaran abangnya bersertakan ayat-ayat Alkitab yang memberi dorongan. Kemudian dia meletakkan benda tersebut di pintu pagar dengan harapan agar abangnya keluar dari tempat pengasingannya.

Tetapi bungkusan itu terjatuh daripada tangannya dan tersangkut pada pancang pintu pagar, terkoyak, dan segala isinya jatuh ke tanah serta kelihatan seperti sampah. Tawarannya yang disertakan niat baik dan kasih sayang itu tertumpah. Adakah abangnya melihat hadiahnya? Adakah misi harapannya tercapai? Dia hanya dapat berharap dan berdoa sementara menanti penyembuhan berlaku ke atas abangnya.

“Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:16). Nabi Yesaya meramalkan harga tindakan kasih ini dalam Yesaya 53:5, “Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita.” Luka-luka-Nya akan membawa harapan untuk penyembuhan yang sepenuhnya. “Tetapi TUHAN menjatuhkan hukuman kepadanya, hukuman yang seharusnya dijatuhkan kepada kita” (ayat 6).

Yesus disalibkan kerana dosa dan keperluan kita, maka Dia sebagai hadiah Tuhan membawa kuasa dan perspektif yang segar ke dalam kehidupan kita pada hari ini. Apakah erti hadiah-Nya kepada anda?