Ketika membesar pada zaman Kemelesetan Ekonomi Dunia, ibu bapa saya tahu tentang kesusahan yang amat sangat sejak kecil. Ekoran daripada itu, mereka orang yang rajin dan pandai mengurus wang dan sentiasa bersyukur. Namun, mereka tidak pernah tamak. Mereka menyumbangkan masa, bakat, dan wang kepada gereja mereka, badan kebajikan dan orang miskin. Malah, mereka mengendalikan wang mereka dengan bijak dan memberi dengan sukacita.
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, ibu bapa saya memerhatikan amaran rasul Paulus sebaik-baiknya: “Orang yang ingin menjadi kaya tergoda dan terjerat oleh bermacam-macam keinginan yang sia-sia dan mencelakakan. Keinginan seperti itu menjatuhkan dan membinasakan orang” (1 Timotius 6:9).
Paulus memberi nasihat ini kepada Timotius, yang merupakan seorang pastor muda di kota Efesus, sebuah bandar yang kekayaannya telah menggoda semua orang.
Paulus memberi amaran, “Sikap mencintai wang menimbulkan segala macam kejahatan. Ada orang yang mengejar wang, sehingga menyangkal Kristus dan akhirnya menderita serta berdukacita” (ayat 10).
Oleh itu apakah penawar ketamakan? Menjadi “kaya di sisi Tuhan,” kata Yesus (lihat Lukas 12:13–21). Dengan mengejar, menghargai, dan mengasihi Bapa Syurgawi kita di atas segalanya, Dia tetap menjadi kegembiraan jiwa kita. Seperti yang ditulis oleh Pemazmur, “Puaskanlah kami dengan kasih-Mu pada setiap pagi, supaya kami dapat menyanyi dan bergembira seumur hidup kami” (Mazmur 90:14).
Bergembira dalam Tuhan setiap hari, ini akan melepaskan kita daripada menginginkan milik orang lain, menjadikan kita berasa puas hati. Semoga Yesus menguasai keinginan hati kita, menjadikan kita kaya di sisi Tuhan.
ILHAM
Kata-kata Paulus kepada Timotius tentang wang mencerminkan kata-katanya dalam Kisah Rasul-Rasul 20:35, seperti dia memetik kata-kata Yesus, "Lebih berbahagia memberi daripada menerima." Namun dalam Perjanjian Baru kita tidak dapat membaca kata-kata Yesus yang sedemikian. Maka di manakah Paulus mendapatkan kata-kata tersebut? Salah satu kemungkinan adalah dia memetik daripada tradisi lisan yang diturunkan oleh saksi-saksi. Satu kemungkinan lagi adalah Paulus menggunakan kata-katanya sendiri untuk mengatakan apa yang dipelajarinya daripada kehidupan dan percakapan Yesus.Paulus telah dididik dalam suatu sistem yang cenderung untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin yang mencintai wang dengan menindas orang miskin (Lukas 16:14; 20:46–47). Satu perubahan yang dramatik telah berlaku pada Paulus, barulah dia dapat mendengar dan percaya apa yang dikatakan oleh Yesus melalui kata-kata mahupun teladan—bahawa nilai hidup kita tidak ditentukan oleh jumlah harta yang kita miliki (12:15).