Ernest Shackleton (1874–1922) pernah memimpin satu ekspedisi menyeberangi Antartika yang tidak berjaya pada tahun 1914. Ketika kapalnya terperangkap dalam ais besar di Laut Weddell, setiap saat menjadi perlumbaan ketabahan hanya untuk terus hidup sempena nama kapal itu—Ketabahan (Endurance). Tanpa ada cara untuk berhubung dengan sesiapa pun, Shackleton dan anak-anak kapalnya menggunakan bot penyelamat untuk belayar ke pantai yang terdekat—Pulau Elephant. Sementara kebanyakan anak kapal tinggal di pulau itu, Shackleton dan lima anak kapal menghabiskan dua minggu dalam perjalanan sejauh 1300km untuk merentasi laut ke Georgia Selatan, agar mendapatkan bantuan bagi mereka yang tertinggal di pulau. Ekspedisi yang “gagal” telah menjadi catatan kemenangan yang cemerlang dalam buku sejarah apabila semua anak kapal Shackleton terselamat, kerana keberanian dan ketabahan mereka.

Rasul Paulus tahu maksud ketabahan. Semasa dia belayar ke Roma untuk menghadapi perbicaraan kerana kepercayaannya kepada Yesus, laut bergelora dan Paulus diberitahu oleh malaikat Tuhan bahawa kapal yang dinaikinya itu akan tenggelam. Tetapi rasul Paulus menggalakkan semua penumpang di kapal itu untuk terus bertahan. Syukurlah kepada janji Tuhan, akhirnya semua orang selamat walaupun kapal itu mengalami kerosakan (Kisah Rasul-Rasul 27:23–24).

Apabila malapetaka menimpa, kita cenderung mahu Tuhan membuat segala sesuatu menjadi baik dengan segera. Tetapi Tuhan memberikan kita iman untuk bertabah dan bertumbuh. Seperti Paulus menulis kepada jemaah di Roma, “penderitaan membina ketabahan” (Roma 5:3 AVB).