Ketika masih muda, saya membayangkan diri saya akan berkahwin dengan buah hati saya di sekolah menengah—tetapi kami akhinya berpisah. Masa depan saya kelihatan begitu kosong dan membosankan, malah saya bergelut tentang apa yang saya harus lakukan dengan hidup saya. Akhirnya saya mengalami pimpinan Tuhan untuk melayani Dia dengan melayani orang lain dan mendaftar di Sekolah Alkitab. Kemudian, saya perlu menghadapi perubahan besar kerana saya harus berpindah dan terpaksa meninggalkan kampung halaman, jarang berjumpa dengan kawan dan keluarga saya. Demi menyahut panggilan Tuhan, saya harus pergi.

Yesus sedang berjalan di tepi Tasik Galilea apabila Dia melihat Petrus dan adiknya Andreas yang sedang menjala ikan di tasik untuk menyara hidup. Dia memberi undangan ini: “Ikutlah Aku. Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku” (Matius 4:19). Kemudian Yesus nampak dua orang adik-beradik yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, dan menawarkan jemputan yang sama kepada mereka (ayat 21).

Apabila pengikut-pengikut ini datang kepada Yesus, mereka juga meninggalkan sesuatu. Petrus dan Andreas “meninggalkan jala mereka” (ayat 20). Yakobus dan Yohanes “meninggalkan perahu dan bapa mereka, lalu mengikut Yesus” (ayat 22). Lukas menulisnya sedemikian: “Mereka menarik perahu-perahu itu ke pantai dan meninggalkan segala-galanya, lalu mengikut Yesus” (Lukas 5:11).

Setiap panggilan untuk mengikut Yesus juga merupakan panggilan untuk meninggalkan sesuatu. Jala. Perahu. Bapa. Kawan-kawan. Keluarga. Tuhan memanggil kesemua kita membina hubungan dengan Dia sendiri. Kemudian Dia memanggil setiap kita untuk melayani.