“Apakah yang terjadi?” tanya Zeal, seorang peniaga dari Nigeria, sambil membongkokkan badan ke arah sebuah katil hospital di Lagos. “Seseorang telah menembak saya,” jawab orang muda dengan pahanya yang berbalut. Walaupun orang yang cedera itu sudah sembuh dan boleh pulang ke rumah, dia masih tidak diizinkan pulang sehinggalah dia membayar bilnya—satu dasar yang diikuti oleh kebanyakan hospital kerajaan di rantau tersebut. Selepas meminta nasihat daripada seorang pekerja sosial, Zeal membayar bil itu tanpa menyatakan namanya melalui dana amal yang telah ditubuhkan sebelumnya sebagai cara untuk menyatakan imannya sebagai orang Kristian. Justeru itu, dia berharap orang yang telah menerima pemberian seperti itu juga akan memberi kepada orang lain pada suatu hari nanti.
Pemberian Tuhan yang murah hati berkumandang dalam seluruh Alkitab. Sebagai contoh, apabila Musa memberi arahan kepada orang Israel tentang cara hidup di Tanah Perjanjian, dia menyuruh mereka mempersembahkan hasil tanaman mereka kepada Tuhan terlebih dahulu (lihat Ulangan 26:1-3) dan mengambil berat tentang orang yang ada keperluan—orang asing, anak yatim piatu, dan balu (ayat 12). Oleh sebab mereka tinggal di “tanah yang kaya dan subur” (ayat 15), mereka hendaklah menyatakan kasih Tuhan kepada orang yang memerlukan bantuan.
Kita juga boleh menyebarkan kasih Tuhan melalui perkongsian harta benda, sama ada besar atau kecil. Mungkin kita sendiri tidak berpeluang untuk memberi seperti yang dilakukan oleh Zeal, tetapi kita boleh memohon Tuhan menunjukkan kita bagaimana untuk memberi atau siapa yang memerlukan pertolongan kita.