Menurut Jim dan Jamie Dutcher, pengarah filem yang terkenal dengan pengetahuan tentang serigala, serigala akan menggoyangkan ekor dan bermain-main apabila berasa gembira. Tetapi apabila salah seekor mati, kawanan serigalanya akan bersedih selama berminggu-minggu. Malah, kawanan ini akan kembali ke tempat kematian ahli kawanan itu dan menunjukkan kesedihan dengan ekor yang terkulai ke bawah.
Kesedihan adalah satu emosi penting yang kita pernah alami terutamanya sewaktu berlaku kematian orang yang dikasihi atau kehilangan harapan. Maria Magdalena mengalaminya. Dia menyokong Kristus dan menjelajah dengan Dia dan pengikut-pengikut-Nya (Lukas 8:1–3). Akan tetapi kematian-Nya yang kejam pada kayu salib kini telah memisahkan mereka. Satu-satunya perkara yang dapat dilakukan oleh Maria untuk Yesus adalah mengurapi tubuh-Nya untuk dikebumikan. Namun, tugasnya terganggu kerana hari itu adalah hari Sabat. Tetapi bayangkan perasaan Maria ketika dia tiba di kubur dan tidak menjumpai tubuh yang mati, melainkan Penyelamat yang hidup! Walaupun pada mulanya dia tidak mengenal lelaki yang berdiri di hadapannya, tetapi apabila namanya dipanggil oleh Dia, barulah dia mengenal siapa Dia yang sebenar—Yesus! Pada saat itu, kesedihan berubah menjadi kegembiraan. Maria kini mempunyai berita gembira untuk berkongsi: “Aku telah melihat Tuhan!” (Yohanes 20:18, ATB).
Yesus memasuki dunia gelap kita untuk mengurniakan kebebasan dan kehidupan. Kebangkitan-Nya adalah sambutan bahawa Dia sudah mencapai tugas penyelamatan ini. Seperti Maria, kita boleh meraikan kebangkitan Kristus dan berkongsi berita baik bahawa Dia hidup! Haleluya!