Apakah yang diperlukan untuk menyalakan suatu revolusi? Senjata api? Bom? Peperangan gerila? Pada akhir 1980-an di Estonia, lagu-lagu diperlukan dalam revolusi. Selepas rakyat hidup di bawah jajahan Soviet selama beberapa dekad, telah muncul satu gerakan yang bermula dengan menyanyikan lagu-lagu patriotik. Lagu-lagu ini pula telah melahirkan lagu “Revolusi Bernyanyi,” yang memainkan peranan utama dalam kemerdekaan Estonia pada tahun 1991.
“Ini adalah revolusi yang tidak ganas dan berjaya menggulingkan penjajahan yang sangat ganas,” kata sebuah laman web yang menggambarkan gerakan tersebut. “Tetapi nyanyian telah menjadi satu faktor penyatuan utama bagi Estonia ketika mereka berada di bawah penaklukan Soviet selama 50 tahun.”
Muzik juga boleh memainkan peranan penting dalam membantu kita melalui masa-masa sukar. Saya sering tertanya-tanya sebabnya kita boleh memahami keadaan pemazmur dengan mudah. Dalam kegelapan malam, jiwa pemazmur menyanyi, “ Mengapakah aku sedih? Mengapakah aku gelisah? Aku akan berharap kepada Allah dan sekali lagi aku akan memuji Dia, Allahku dan penyelamatku” (Mazmur 42:6). Apabila menghadapi masa kekecewaan yang amat sangat, Asaf seorang pemimpin pujian, mengingatkan dirinya bahawa, “Allah sungguh baik kepada umat Israel, kepada mereka yang berhati murni” (73:1).
Pada masa yang penuh cabaran, marilah kita menyertai revolusi bernyanyi dalam hati kita. Revolusi sedemikian dapat mengatasi perasaan putus asa dan kekeliruan dengan keyakinan dalam iman dan kesetiaan Tuhan.