Dandy suka memberi galakan kepada orang lain dengan bernyanyi untuk mereka. Pada suatu hari, sewaktu kami makan tengah hari di restoran kegemarannya, dia terlihat seorang pelayan wanita yang muram. Dia pun bertanyakan beberapa soalan kepadanya, kemudian mula menyanyikan lagu yang riang untuk menghiburnya. “Encik, kamu orang baik, lagu kamu telah menggembirakan saya. Terima kasih,” katanya dengan senyuman lebar ketika dia mengambil pesanan makanan kami.

Apabila kita membaca kitab Zefanya, kita mendapati bahawa Tuhan suka menyanyi. Nabi dengan mahirnya menggambarkan Tuhan dengan mengatakan Dia sebagai pemuzik yang suka bernyanyi dan bernyanyi bersama dengan anak-anak-Nya. Dia menulis bahawa Tuhan “gembira dan bersukacita kerana kamu; Dia memberi kamu hidup baru kerana Dia mengasihi kamu. Kamu menyukakan hati-Nya, maka Dia akan menyanyi dengan gembira” (3:17). Tuhan berjanji untuk menyertai mereka yang telah diubah oleh rahmat-Nya selama-lamanya. Tetapi nyanyian tidak berhenti di situ! Dia mengundang dan menyanyi bersama dengan umat-Nya untuk “bergembira dengan segenap hati” (ayat 14).

Kita boleh membayangkan pada suatu hari kelak kita akan bersama dengan Tuhan dan semua orang yang percaya kepada Yesus sebagai Penyelamat. Betapa ajaibnya apabila mendengar bahawa Bapa kita yang di syurga menyanyikan lagu-lagu untuk kita, dan kita boleh mengalami kasih dan penerimaan-Nya.