Saya telah menyediakan pelindung mata, lokasi yang sesuai, dan snek buatan sendiri. Bersama dengan jutaan orang di Amerika Syarikat, keluarga saya melihat fenomena gerhana matahari yang jarang berlaku—bulan membayangi seluruh permukaan matahari.
Gerhana itu membentuk suatu kegelapan yang luar biasa pada hari yang biasanya disinari matahari petang yang terang. Walaupun fenomena gerhana adalah sesuatu yang menarik dan mengingatkan kita tentang kuasa ciptaan Tuhan yang luar biasa (Mazmur 135:6-7), sejarah telah menyatakan bahawa kegelapan pada siang hari adalah sesuatu yang tidak normal dan merupakan petanda buruk (Keluaran 10:21; Matius 27:45), menunjukkan sesuatu yang tidak baik telah terjadi.
Itulah makna kegelapan gerhana kepada Amos, seorang nabi pada masa perpecahan kerajaan purba Israel. Amos telah memberikan amaran kepada Kerajaan Utara bahawa kebinasaan akan menimpa mereka sekiranya mereka berpaling daripada Tuhan. Sebagai tanda, Tuhan akan “menyebabkan matahari terbenam pada tengah hari dan bumi menjadi gelap pada siang hari” (Amos 8:9).
Tetapi hasrat dan matlamat utama Tuhan pada masa itu adalah sama pada hari ini, iaitu memulihkan segalanya. Malah semasa umat Tuhan berada dalam tawanan, Tuhan telah berjanji bahawa pada suatu hari nanti, Dia akan membawa pulang saki-baki Israel ke Yerusalem serta “memperbaiki temboknya dan membina semula sehingga menjadi seperti dahulu kala” (Amos 9:11).
Meskipun pada saat hidup kita dilanda kegelapan seperti bangsa Israel, kita boleh mendapatkan penghiburan kerana Tuhan sedang bekerja untuk membawa kembali cahaya dan harapan—kepada semua orang (Kisah Rasul-Rasul 15:14-18).