Pada suatu musim panas, saya berusaha untuk menyiapkan satu tugasan yang sukar—satu projek penulisan yang besar dengan tarikh akhir yang semakin menjelang. Setelah berusaha untuk membuat tugasan tersebut selama beberapa hari, saya berasa penat, kecewa dan hampir berputus asa. Masa itulah seorang kawan yang bijak bertanya kepada saya, “Bilakah kali terakhir kamu diperbaharui? Mungkin kamu perlu berehat dan menikmati makanan yang lazat”.

Dengan serta-merta saya menyedari bahawa cadangannya itu betul. Nasihatnya membuat saya terfikir tentang Elia dan amaran yang diterimanya daripada Izebel (1 Raja-Raja 19:2)—meskipun skala masalah saya jauh lebih kecil daripada masalah Elia. Selepas Elia berjaya menumpaskan nabi-nabi palsu di Gunung Karmel, Izebel memberi amaran bahawa dia akan menangkap dan membunuhnya; ini menyebabkan Elia berputus asa dan meminta Tuhan mengambil nyawanya. Bagaimanapun, dia dapat tidur dengan baik dan malaikat telah melawat dan memberi makanan kepadanya sebanyak dua kali. Setelah Tuhan memperbaharui tenaganya, dia dapat meneruskan perjalanannya.

Apabila perjalanan hidup menjadi terlalu ”jauh” bagi kita (ayat 7), mungkin kita perlu berehat dan menikmati makanan sehingga puas. Ini kerana apabila kita berasa penat atau lapar, kita akan mudah patah hati atau berasa takut. Tetapi setelah keperluan fizikal kita dipenuhi, kita boleh meneruskan perjalanan untuk melayani Tuhan.