Pada suatu lewat petang hari Sabtu, saya dan keluarga saya singgah di sebuah restoran untuk makan tengah hari. Setelah pelayan menghidangkan kentang goreng dan burger di meja kami, suami saya menyapa pelayan tersebut dan bertanyakan namanya. Kemudian dia berkata, “Kami sekeluarga selalu berdoa sebelum makan. Adakah apa-apa yang boleh kami doakan untuk kamu pada hari ini?” Allen, nama pelayan itu, memandang kami dengan terkejut dan ragu-ragu. Setelah berdiam sejenak, dia memberitahu kami bahawa dia tidur di atas sofa di rumah rakannya pada setiap malam, keretanya telah rosak dan dia kekurangan wang.

Semasa suami saya berdoa dengan perlahan, memohon supaya Tuhan mencukupkan keperluan Allen dan menunjukkan kasih-Nya kepada Allen, saya teringat bahawa doa kita untuk orang lain serupa dengan cara Roh Kudus mengangkat keperluan kita dan menghubungkan kita kepada Tuhan. Semasa kita menghadapi kesempitan hidup—apabila kita menyedari bahawa kita tidak mampu menghadapi masalah kehidupan tanpa Tuhan, apabila kita tidak tahu apa yang perlu kita ucapkan kepada Tuhan, “Roh itu bermohon kepada Allah bagi umat-Nya” (Roma 8:27). Apa yang dinyatakan oleh Roh Kudus adalah misteri, tetapi kita yakin bahawa ia sesuai dengan kehendak Tuhan untuk hidup kita.

Apabila anda berdoa kepada Tuhan untuk memohon petunjuk dan kecukupan untuk orang lain, ingatlah bahawa keperluan rohani anda turut diangkat ke hadapan Tuhan yang mengetahui nama dan keperluan anda.