Seorang lelaki yang duduk di atas kerusi roda di pusat jagaan warga tua di Belize, dia berasa begitu gembira apabila mendengar sekumpulan remaja dari sekolah menengah Amerika Syarikat menyanyikan lagu tentang Yesus. Selepas itu, beberapa remaja cuba berkomunikasi dengan dia, tetapi mereka mendapati bahawa dia pernah diserang strok dan kini tidak boleh bercakap. Strok telah merampas kebolehannya untuk berkomunikasi.

Oleh sebab mereka tidak berupaya untuk meneruskan perbualan, maka para remaja tersebut mengambil keputusan untuk mempersembahkan lagu kepadanya. Apabila mereka mula menyanyi, sesuatu yang luar biasa terjadi. Dengan penuh semangat, lelaki itu menyanyikan lagu “How Great Thou Art” (Sungguh Besar Kau Allahku) secara lantang bersama dengan rakan-rakan barunya.

Itu merupakan saat yang cukup luar biasa untuk semua orang. Kasih lelaki itu terhadap Tuhan telah menembusi segala halangan dan diluahkan dalam pujian yang kedengaran—penyembahan yang lahir dari hati dan penuh sukacita.

Kadangkala kita menghadapi halangan dalam penyembahan. Contohnya, konflik hubungan, masalah kewangan atau hati terhadap Tuhan yang telah menjadi dingin.

Lelaki yang tidak dapat bercakap itu telah mengingatkan kita bahawa Tuhan Yang Maha Besar dan Agung boleh menembusi segala halangan. “Ya Tuhanku—aku sungguh kagum melihat segala ciptaan-Mu!”

Adakah anda bergelut untuk menyembah Tuhan? Renungkan keagungan Tuhan dengan membaca firman Tuhan seperti Mazmur 96, mungkin anda mendapati bahawa segala rintangan dan halangan akan digantikan dengan pujian.