Ming Teck terjaga daripada tidur dengan sakit kepala yang teruk, dan menyangka bahawa itu cuma serangan migrain. Tetapi apabila dia bangun dari katil, dia rebah ke lantai. Dia telah dimasukkan ke hospital dan doktor memberitahu bahawa dia telah mengalami strok. Selepas menerima rawatan pemulihan selama 4 bulan, dia boleh berfikir dan bercakap semula dengan baik, tetapi masih berjalan dalam keadaan tempang kerana kesakitan. Dia bergelut dengan kekecewaan, tetapi dia telah mendapat penghiburan melalui buku Ayub.
Ayub telah kehilangan segala kekayaan dan anak-anaknya dalam sekelip mata. Di sebalik derita yang menakutkan itu, dia tetap berharap kepada Tuhan dan memuji Tuhan sebagai sumber segala sesuatu. Dia mengakui kedaulatan Tuhan pada masa kesusahan (Ayub 1:21). Kita berasa kagum akan imannya yang kuat, tetapi Ayub juga bergelut dan hampir berputus asa. Selepas dia kehilangan kesihatan (2:7), dia mengutuk kelahirannya (3:1). Dia berlaku jujur dengan kawan-kawannya dan Tuhan mengenai kesakitannya. Bagaimanapun, akhirnya dia menerima perkara baik dan buruk berasal daripada Tuhan (13:15; 19:25-27).
Apabila menghadapi penderitaan, kita mungkin berbolak-balik antara harapan dan perasaan kecewa, keraguan dan iman. Tuhan tidak mahu kita menyembunyikan sebarang perasaan gentar dalam menghadapi cabaran, sebaliknya Dia menjemput kita membawa segala persoalan kita kepada-Nya. Meskipun kadangkala iman kita tidak teguh, kita boleh yakin bahawa Tuhan tetap setia.